Program Pembangunan Bola Sepak Negara Kekal Sebagai Polisi Kerajaan
KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) akan diteruskan walaupun individu lain akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program yang menyambut ulang tahun ketiga penubuhannya hari ini, telah mendapat kelulusan daripada jemaah menteri sebelum ia dilaksanakan.
“Ini program nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan ketika pelancaran beliau ada menyebut ini adalah program nasional.
Bila ia menjadi satu dasar dan program nasional, sesiapa saja yang menduduki kerusi menteri belia dan sukan, dia wajib meneruskan program ini,” katanya kepada pemberita dalam temu bual khas sempena tiga tahun penubuhan PPBN.
PPBN dilancarkan pada 10 April 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersekali dengan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang yang merupakan satu usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara di samping menjadi sebuah kuasa yang disegani di peringkat antarabangsa.
Pelan tersebut didokong oleh pihak kerajaan secara keseluruhan tanpa lagi terhad kepada Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pendidikan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Melalui pelan ini, kanak-kanak seawal tujuh tahun sehingga 17 tahun akan digilap dengan pengetahuan asas bola sepak serta gaya permainan yang dipanggil sebagai DNA bola sepak yang diterajui oleh Pengarah PPBN Lim Teong Kim.
Bakat-bakat ini akan dicari di seluruh pelosok tanah air oleh pasukan pencarian bakat yang bekerjasama rapat dengan barisan jurulatih di seluruh negara di pusat-pusat latihan yang akan dibuka di setiap daerah.
Menjelang 2020, PPBN akan mempunyai kira-kira 50,000 pelatih bola sepak berumur antara tujuh sehingga 17 tahun di lebih 300 pusat latihan di seluruh negara.
Khairy berkata secara keseluruhannya beliau sangat berpuas hati dengan perjalanan program pembangunan berkenaan yang sudah mempunyai 23,000 pelatih berusia antara 7 hingga 17 tahun di 123 pusat latihan daerah atau akademi tunas di seluruh negara.
“Dengan 123 pusat atau akademi latihan di seluruh negara dalam masa tiga tahun adalah satu pencapaian yang besar. Namun demikian kita masih lagi belum selesai tugas sehingga kita berjaya mencapai 50,000 pelatih menjelang tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata bilangan pusat atau akademi latihan PPBN akan ditambah pada masa depan khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai masalah jarak antara satu daerah ke satu daerah yang lain.
Menurut Khairy, cetusan idea PPBN ini pada awalnya adalah selepas melihat kelompongan dari segi pelaksanaan program pembangunan bola sepak yang hanya dilaksanakan di peringkat sekolah sukan negeri sahaja.
Katanya, pada masa itu kerajaan melihat tiada usaha yang serius daripada persatuan bola sepak negeri untuk menjaga pembangunan bola sepak di negeri masing-masing.
Sementara itu, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata sambutan daripada ibu bapa juga adalah memberangsangkan dari segi sokongan yang diberikan kepada anak-anak mereka.
“Maklum balas daripada ibu bapa adalah sangat positif. Pelatih dan ibu bapa tidak perlu bayar satu sen pun dari segi latihan dan jurulatih cuma kita minta mereka beri khidmat sokongan kepada anak-anak mereka,” katanya.
PPBN ini juga telah menjadi program yang kompetitif yang mana di bawah program ini para pelatih akan mengadakan latihan tiga kali seminggu dan didedahkan kepada perlawanan setiap minggu.
“Ini beza dengan dulu di mana kita hanya ada pendedahan kepada pertandingan ketika karnival bola sepak sahaja tapi sekarang ini setiap minggu ada pertandingan atau liga yang tersusun,” katanya.
— BERNAMA
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2piJtbA✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment