Kerjasama Dengan Uber: Pemandu Teksi Dakwa Tidak Diajak Berbincang
SUBANG JAYA: Gabungan persatuan pemandu teksi hari ini membantah persetujuan kerjasama yang dirancang antara Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) dan Uber Malaysia.
Tindakan itu kerana, jurucakapnya Zailani Isausuluddin mendakwa, pihaknya langsung tidak dipanggil untuk berbincang berkenaan hal tersebut.
Beliau melahirkan kekesalan kerana GPST merancang untuk menjalin kerjasama dengan Uber, yang sekian lama menjadi ‘musuh’ para pemandu teksi sejak ia diperkenalkan di negara ini, tanpa persetujuan mereka.
“Kami dapat tahu hari ini GPST adakan mesyuarat agung khas melibatkan persetujuan kerjasama dengan pihak Uber, di mana aplikasi Uber akan digunakan dalam teksi.
“Siapa beri dia hak untuk gunakan aplikasi Uber dalam teksi, sedangkan dia tidak lakukan sebarang perbincangan dengan kami?” keluhnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Se-Malaysia.
Zailani bersama kira-kira 30 wakil persatuan pemandu teksi berkumpul di Sunway Lagoon Club di sini, lokasi mesyuarat tersebut dijadual diadakan, untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap kerjasama itu kepada GPST.
Bagaimanapun, difahamkan Presiden GPST Datuk S.M. Salahuddin Ayubi Kamal Aazad sebagai pihak penganjur mesyuarat tersebut tidak hadir.
Hanya Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah, Pengarah Urusan Public Cab Frankie Yap dan seorang lagi individu sahaja yang muncul, sekaligus mengakibatkan mesyuarat dibatalkan.
Zailani dan rakan-rakan pemandu yang hadir hari ini nyata kecewa dengan hal tersebut.
“Sebagai seorang profesional, beliau patut (bersikap) ‘gentleman’. Datanglah. Kenapa batalkan mesyuarat hari ini? Notis mesyuarat sudah dibuat 14 hari lebih awal. Atas alasan apa beliau batalkan?
“Kalau beliau datang hari ini, boleh berbincang dengan kami dan perkara dapat diselesaikan. Kenapa harus lari? Apa motif dia lari?” soalnya.
Menurut Zailani, dia ada bertemu dengan Salahuddin pada satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Khamis lepas, tetapi tiada sebarang perbualan timbul antara mereka terutamanya berhubung hal kerjasama teksi-Uber.
“Saya hanya dapat maklumat (berkenaan mesyuarat kerjasama GPST-Uber) pada Jumaat malam. Jangan persendakan kami, perlakukan kami seperti sampah terbuang.
“Walau apapun beliau hendak lakukan, berbincanglah dengan kami terlebih dahulu. Ini lebih baik. Jangan mengeruhkan keadaan,” tegasnya.
Berikutan ketiadaan presiden GPST itu, memorandum bantahan itu diserahkan kepada Aslah, yang juga merupakan ahli GPST, untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Berdasarkan notis, satu mesyuarat agung khas GPST akan diadakan hari ini, yang bakal menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi kerjasama antara teksi dan Uber Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Big Blue Taxi Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail semalam berkata, memorandum itu akan menyaksikan 500 teksi di bawah GPST yang akan terlibat pada peringkat permulaan.
Katanya, kerjasama itu mampu memberi manfaat kepada pemandu teksi berikutan aplikasi teksi sebelum ini tidak mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai disebabkan kekurangan sokongan.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mw8Fxg✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment