MWC 2017 : Huawei P10 – Kembalinya Peranti Kompak Dengan Teknologi Leica
Huawei P10 dan P10 Plus akan dilancarkan di Malaysia esok. Malaysia ialah antara negara terawal yang menerima peranti ini. Sempena pelancarannya pasti ramai yang tertanya-tanya apakah pendapat kami mengenai peranti terbaru yang dilengkapi lensa keluaran Leica ini? Berikut ialah pandang pertama kami tentang Huawei P10.
Spesifikasi
Huawei P10 | |
---|---|
Skrin | 5.1″ IPS Neo HD Penuh (432 PPI) |
Pemproses | HiSilicon Kirin 960 |
Cip Grafik | Mali-G71 MP8 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB) |
Kamera Utama | 12 + 20 Megapixel, OIS, f/2.2, Lensa Leica |
Kamera Depan | 8 Megapixel f/1.9, Lensa Leica |
Bateri | 3200 mAh (Tidak boleh tanggal) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Bicu Audio | Ya |
Huawei P10 ialah sebuah Huawei Mate 9 yang dipakejkan semula di dalam kerangka yang lebih kecil dan mudah dipegang. Skrin 5.1″ IPS NEO dengan resolusi HP penuh digunakan. Ini adalah sedikit lebih kecil berbanding 5.2″ yang digunakan pada P9 tahun lalu. Resolusi masih lagi kekal seperti tahun lalu.
Pemproses HiSilicon Kirin 960 lapan teras digunakan berbanding Kirin 955 tahun lalu. Peningkatan terletak pada empat teras Cortex A73 berbanding Cortex A72 pada P9. RAM sebesar 4 Gigabyte dipadankan dengan pilihan storan 32 ataupun 64 Gigabyte. Bagi yang memerlukan penambahan storan, kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte disokong. Sistem talam SIM hibrid digunakan pada P10. Ini bermakna hanya satu slot SIM nano boleh digunakan sekiranya anda menggunakan kad MikroSD.
Sistem kamera berkembar tahun ini mempunyai dua saiz sensor berbeza 20 dan 12 Megapixel (berbanding dwi 12-Megapixel pada P9) . Sensor 20-Megapixel digunakan untuk mengambil gambar hitam putih dan sensor 12-Megapixel untuk maklumat warna. Imej dari kedua-dua sensor kemudian digabungkan untuk bagi menghasilkan gambar yang lebih tajam, terang dan penghasilan warna yang baik menurut Huawei. Lensa Leica dikekalkan dengan f/2.2 tetapi model tahun ini hadir dengan sistem OIS.
Kamera hadapan turut menggunakan lensa keluaran Leica f/1.9 dengan sensor sebesar 8-Megapixel. Kamera hadapan kini boleh menggunakan mod Portrait yang menghasilkan gambar selfie dengan kesan khas Bokeh.
Bateri sebesar 3200 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas melalui port USB-C. Ini adalah 200 mAh lebih besar berbanding pada P9.
Sokongan NFC disertakan begitu juga dengan bicu audio 3.5mm. Huawei nampaknya masih belum bersedia untuk melompat ke arena aksesori audio tanpa wayar. Bercakap mengenai audio, hanya satu pembesar suara mono disertakan pada peranti ini.
Akhir sekali peranti ini akhirnya mempunyai kemampuan kalis percikan air. Ia mampu bertahan dari tumpahan air tetapi tidak boleh ditenggelamkan di dalam air seperti piawaian IP68.
RekabentukDengan setiap generasi rekaan peranti Huawei semakin lama semakin matang. Pernah suatu ketika dahulu rekaan peranti mereka adalah agak kurang baik dengan kemasan yang kurang memuaskan.
Pada P10 rekaan P9 diperhalusi lagi bagi membuatkannya bukan sahaja sedap mata memandang tetapi sedap digenggam di dalam tangan. Empat penjuru peranti lebih bulat dengan sisi yang turut dibulatkan. Hasilnya ialah peranti yang kelihatan sedikit lebih kecil berbanding P9.
Sisi yang lebih bulat membuatkannya amat selesa dipegang. Ia mungkin antara peranti yang paling selesa dipegang tahun ini. Panel belakang yang diperbuat daripada logam mempunyai kemasan matte yang kurang memerangkap cap jari.
Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan peranti. Pada butang kuasa diletakkan kemasan berwarna merah dan permukaan lebih kasar. bagi memudahkannya dibezakan dari butang suara. Talam dwi-SIM dan MikroSD hibrid pula terletak pada sisi kiri. Ia menggunakan rekaan yang memerlukan ia dicocok dengan jarum untuk dikeluarkan.
Bergerak ke bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C yang dihimpit pembesar suara pada bahagian kanan dan bicu audio 3.5mm pada bahagian kiri. Akhir sekali pengimbas cap jari kini diubah ke bahagian dagu. Sebelum ini ia terletak pada panel belakang. Dengan kedudukan baru ini, Huawei memperkenalkan sistem navigasi baru yang tidak memerlukan butang navigasi atas skrin.
Secara keseluruhan peranti kini kelihatan lebih kemas dan menarik berbanding P9. Memegangnya juga terasa lebih selesa.
Antaramuka
Android 7.0 digunakan dengan pelancar terkini EMUI 5.1. Tiada perbezaan dari segi rekaan jika dibandingkan dengan EMUI 5.0. Perbezaan hanya dilakukan pada pengoptimasian penggunaan RAM dan kepantasan peranti mengesan sentuhan pada skrin. Menurut Huawei dua fungsi baru ini akan membuatkan peranti terasa lebih responsif. Seperkara lagi dengan pengguna Android 7.0, peranti ini menyokong talam aplikasi dan mod split-screen.
Home Screen Style – Memilih untuk mengaktifkan penggunaan talam aplikasi ataupun tidak.
Knuckle Gesture
- Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
- Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
- Smart Recording – Merakam video paparan skrin dengan melukis huruf “O” pada skrin menggunakan buku lima. Turut boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa dan butang menguatkan suara serentak.
- Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.
- Split Screen Gesture – Melancarkan mode split-screen dengan melakar garisan lurus merentasi skrin.
One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin supaya memudahkan akses kepada kesemua elemen antaramuka. Ini dilakukan dengan menatal dari bucu kiri (atau bucu kanan) skrin ke bahagian tengah skrin.
Simple Mode – Memudahkan pengguna peranti dengan elemen antaramuka yang lebih besar.
App Twin – Membolehkan dua aplikasi dengan dua akaun berbeza seperti WhatsApp digunakan serentak.
Themes – Mengubah tema antaramuka. Hanya terdapat sembilan tema boleh dipilih. Ini adalah terhad jika dibandingkan dengan sistem tema yang boleh dimuatturun pada beberapa peranti keluaran pesaing.
Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.
Off Screen Navigation Button – Menghilangkan butang navigasi pada skrin. Navigasi kini dilakukan dengan menggunakan pengimbas cap jari. Sentuhan pada pengimbas berfungsi sebagai butang back. Menekan pengimbas selama beberapa saat berfungsi sebagai butang home. Untuk multi tasking, tatal ke kiri atau ke kanan pada pengimbas cap jari.
Kesimpulan
Huawei P10 tidak membawakan perubahan yang mendadak berbanding P9. Perubahan yang dilakukan lebih kepada kosmetik bagi memperhalusi lagi rekaannya. Sungguhpun begitu peranti kini kelihatan lebih kemas, menarik dan selesa dipegang. -Perisian EMUI 5.1 tidak banyak berbeza dengan EMUI 5.0 yang digunakan pada Mate 9. Bagi yang memerlukan talam aplikasi serta mod split-screen, P10 kini menyokongnya kerana menggunakan Android 7.0.
Peranti juga kini mempunyai kemampuan kalis percikan air yang tidak seperti tahun lalu. Pemproses yang lebih berkuasa dipadankan dengan bateri yang lebih besar memastikan peranti dalam- bertahan lebih lama. Seperkara lagi lensa Leica kini turut digunakan pada lensa hadapan dengan mod Portrait bagi mengambil selfie dengan kesan Bokeh.
Kami tidak mempunyai sebarang komen negatif untuk dikatakan mengenai P10 setakat ini. Nantikan ulasan penuh untuk Huawei P10 dalam jangka masa terdekat hanya di Amanz.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mQKwCj✍ Sumber : ☕ Amanz
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment