Hatrik Guerra terus julang JDT
GABRIEL Guerra menjaringkan gol ketiga pasukan ketika aksi menentang T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JOHOR BAHRU: Malam gemilang dicipta penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Guerra apabila muncul wira buat skuad Harimau Selatan selepas mencipta hatrik bagi memastikan kemenangan 3-0 menewaskan T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Guerra mencipta sejarah selepas muncul pemain pertama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) menjaringkan hatrik dua kali berturut-turut dalam satu musim pada dua saingan liga berbeza, selepas menjaringkan tiga gol bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ketika menewaskan Perlis 4-0 pada aksi Liga Perdana, 26 Januari lalu dan kini sekali lagi hatrik bersama skuad Harimau Selatan.
Dengan mengekalkan barisan yang sama ketika menewaskan Beoungket Angkor FC 3-0 pada saingan Piala AFC baru-baru ini dan hanya melakukan perubahan kecil dengan meletak Gonzalo Cabrera di posisi sayap kiri, tuan rumah tampak garang mengasak ke kubu pelawat sebaik permainan bermula.
Ketika aksi baru memasuki minit kelapan, percubaan pertama tuan rumah mengundang cemas buat pelawat tatkala bola umpanan Cabrera tepat kepada Guerra yang merembat kencang untuk memaksa penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin merebahkan badan.
Asakan berterusan skuad Harimau Selatan menjelmakan jaringan selang dua minit selepas bola sepakan lambung kapten Safiq Rahim disambar Guerra yang merembat bola tepat ke penjuru kiri gawang dan menewaskan Mohd Suhaimi.
Tuan rumah terlepas untuk menambah jaringan pada minit ke-14 selepas bola rembatan Ahmad Hazwan Bakri yang melepasi benteng pertahanan lawan sekadar melintasi di depan gawang gol, malah rembatan susulan Cabrera sempat ditangkap kemas Mohd Suhaimi.
PEMAIN JDT, Ahmad Hazwan Bakri (kanan) diasak pemain T-Team, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Bermula dengan sepakan lintang Ahmad Hazwan pada minit ke-30 menyaksikan Cabrera menanduk bola biarpun terkena palang gol tapi Guerra yang tidak dikawal mudah menolak masuk menewaskan Mohd Suhaimi yang sudahpun terbaring.
Guerra nyata berbisa apabila membuktikan ketajaman tatkala dinaikkan pangkat beraksi bersama JDT dengan melengkapkan hatrik pada minit ke-39 apabila menyudahkan bola lintang S Kunanlan untuk menewaskan Mohd Suhaimi buat kali ketiga.
Bersambung babak kedua, anak didik Benjamin Mora terus menggandakan asakan namun Ahmad Hazwan tampak masih tercari-cari sentuhan penyudah pada minit ke-59 selepas menolak bola sipi dari gawang gol apabila menerima umpanan Kunanlan.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2kWDhIn✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment