SPRM Tahan Enam Termasuk Anak Pegawai Kerajaan Negeri Johor
JOHOR BAHRU: Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata kesemua suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditahan semalam di beberapa lokasi dalam operasi serentak bermula 8.30 pagi.
“Mereka yang ditahan merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri Johor, dua pemaju, seorang peguam dan seorang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan penangkapan itu, 45 akaun milik suspek yang mengandungi simpanan sekitar RM15.5 juta dibekukan, selain 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM500,000 serta pelbagai dokumen dirampas bagi membantu siasatan, katanya.
Azam berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua suspek disyaki bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor.
“Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan negeri Johor,” kata beliau.
Azam berkata SPRM akan memanggil beberapa saksi lagi untuk membantu melengkapkan siasatan.
Sementara itu, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
— BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lkpUhm✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment