Rakyat Di Sabah Perlu Beri Mandat Kepada BN Pada PRU Ke-14 – Salleh
KOTA BELUD: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat di Sabah perlu memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti berikutan kejayaannya membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, ia mempunyai perancangan rapi dan agenda pembangunan yang menyeluruh untuk kebaikan rakyat negeri ini.
“Sebagai contoh, projek lebuhraya Pan Borneo dari Tuaran ke Kudat dijangka memberi perubahan yang besar terutama dari segi peluang ekonomi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, BN adalah pilihan yang tepat untuk perjuangan membela nasib rakyat,” katanya ketika merasmikan Bengkel Peningkatan Profesionalisme Pemaju Masyarakat Kemas Daerah Kota Belud, dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, Salleh berkata rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan dakyah dan tohmahan pembangkang yang menabur pelbagai fitnah dan persepsi negatif melalui media sosial semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Beliau juga berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan pelbagai kempen termasuk Kempen Klik Dengan Bijak untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar lebih bijak menggunakan internet, terutama menerusi telefon bimbit pintar.
Menurutnya, masyarakat pada masa kini mendapat maklumat daripada pelbagai sumber tetapi bukan semuanya benar.
“Kadang kala kita terlalu sibuk menggunakan telefon bimbit sehingga apa sahaja maklumat yang kita terima, kita percaya dan kita pula (apabila mendapat) maklumat itu menjadikannya tular dalam Whatshap ke grup lain sedangkan kita sendiri tidak yakin dengan maklumat tersebut…kita mudah terpengaruh,” katanya.
Salleh turut meminta kakitangan awam terutama pegawai kemajuan masyarakat (Kemas) supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mempersoalkan dasar kerajaan yang dibentuk.
“Kerajaan itu dibentuk dan ditadbir oleh kakitangan awam dan parti pemerintah. Orang politik dan kakitangan awam adalah kombinasi parti pemerintah dan kita mesti sokong parti pemerintah.
Parti pemerintah ialah BN dan kita harus pertahankan kuasa bukan untuk diri kita sendiri tetapi kita mahu teruskan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” jelas Salleh.
Beliau juga meminta rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan slogan politik “Sabah For Sabahans” yang ditonjolkan oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan rakyat.
Sementara itu, ketika merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SMK Pekan II Kota Belud kemudian, Salleh meminta para pelajar menguasai dan meningkatkan kemahiran dalam teknologi digital bagi membolehkan mereka bersaing agar tidak ketinggalan dalam dunia tanpa sempadan.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan mereka dapat merebut peluang pekerjaan pada masa depan khususnya yang memerlukan kepakaran dalam dunia internet dan digital.
— BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2m5zR3z✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment