Benelli RFS150i 2017 Dilancarkan, Harga Dari RM7,407
Selepas bertukar pengedar, sebelumnya bersama Benelli Keeway Malaysia dan kini MForce Bike Holdings Sdn Bhd – yang juga merupakan pengedar bagi skuter SYM – Benelli memperkenalkan barisan beberapa model baru untuk pasaran Malaysia. Tidak ketinggalan ialah model supercub RFS150i 2017 ini.
Ditawarkan dalam dua varian, model ini masing-masing dijual pada harga RM7,407 bagi varian RFS150i, manakala bagi versi RFS150i SE pula, harganya ialah RM7,778 – termasuk GST. Ini merupakan penawaran sulung Benelli di dalam segmen motosikal 150 cc, yang setakat ini didominasi oleh dua sahaja model popular – Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.
Benelli RFS150i dilengkapi enjin 149 cc silinder tunggal sejukan cecair yang menghasilkan 15.5 hp kuasa pada 8,500 rpm dan 13 Nm tork pada 7,000 rpm. Menjadi keunikannya ialah konfigurasi silinder dengan tiga palam pencucuh – dikenali sebagai B3SP – yang bersekali dengan ECU dan sistem penyuntik minyak pada motosikal ini, direka untuk mendapat kecekapan penggunaan bahan api dan kuasa optimum.
Bagi kotak gear pula, motosikal ini menggunakan jenis klac basah dengan enam-kelajuan – sama seperti kebiasaan model dalam segmennya. Nama RFS yang digunakan adalah singkatan kepada “Riders For Speed”. Disebabkan itu juga penggayaan yang dikenakan pada model ini tampak sporty dan agresif.
Suspensi depan adalah dari jenis fork terbalik, manakala bahagian belakang menggunakan jenis monoshock. Brek pula terdiri daripada jenis hidraulik bagi kedua-duanya, dengan cakera 240 mm di depan serta 220 mm di belakang.
Motosikal ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.8 liter yang terletak di bawah tempat duduknya, dengan berat kering yang dicatatkan ialah 115 kg. Ketinggian tempat duduknya 787 mm, dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai didakwa pada 100 km/j.
Ada tiga pilihan warna ditawarkan – kuning, merah dan biru – sementara versi SE pula hadir dalam warna matte grey, dan sudah boleh dibeli dari bilik pameran Benelli kini. Bandingan harga dengan pesaingnya pula adalah seperti berikut; Yamaha Y15ZR dijual RM8,210 manakala Honda RS150R pula dari RM8,213 bagi versi standard, serta RM8,372 bagi versi Repsol.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2nz7z14✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment