Kimchi tak cukup perencah
Resipi filem romantis perlu ada percikan cinta yang diceritakan dengan baik melalui skrip yang bagus, plot warna-warni, lakonan mantap dan sinematografi yang menakjubkan.
Andai hilang mana-mana satu daripada elemen itu, penceritaan kisah cinta akan hilang putik rasa, ibarat lidah yang tidak dapat merasai nikmat masam, masin atau manis.
Malangnya, filem sentuhan pertama Michael Ang berdepan dengan kehilangan beberapa putik rasa bagi skrip dan lakon layar. Biarpun disokong fizikal hebat sinematografi, kerja kamera, pencahayaan, kostum, solekan dan paling penting lokasi cantik, Kimchi Untuk Awak tidak cukup masam dan pedasnya.
Setiap plot tidak diberi peluang untuk berkembang dengan bersahaja, lantas menyebabkan pecahan sub plotnya tampak tergesa-gesa hingga tidak nampak percikan cinta yang membolehkan dua watak yang memiliki sikap berbeza untuk jatuh cinta secara spontan.
Ia ditambah pula dengan kegagalan untuk mengemudi perkembangan karakter secara berperingkat.
Emma Maembong kelihatan terlalu mencuba untuk beraksi di layar lebar dan hanya lepas beberapa ketika barulah dia mendapat rentak. Hal sama pada lakonan Aiman Hakim sebagai jejaka berdarah kacukan Melayu-Korea, nampak janggal tapi hampir menjadi.
Di mana letaknya cinta yang menghalalkan watak Bella (Emma) jatuh cinta dengan Danial Lee (Aiman Hakim) selepas berbabak-babak penonton disajikan dengan dialog yang menjatuhkan maruah Bella?
Maruah wanita diwakili Bella bagai mudah dipijak-pijak, dikeji, dimaki hamun tapi dia akhirnya jatuh cinta juga pada Danial.
Watak Bella terlalu lemah dan menjadi beg tinju untuk watak Danial melepaskan geram, biarpun ada saja momen Bella digambarkan seorang yang tegas.
Itu dari segi karakter. Bagaimana pula dengan keperluan diwujudkan watak Omma yang sekadar melengkapkan drama dalam cerita?
Walaupun ada ruang yang boleh dipersoal, filem ini berjaya diselamatkan dengan kehadiran watak pembantu seperti Ungku Haris sebagai Faris dan Sharifah Sakinah sebagai Aminah/MinHa.
Andai diharapkan komedi lontaran Emma dan Aiman sahaja, rasanya Kimchi Untuk Awak akan lebih hambar.
Apa sekalipun, filem ini masih berupaya memberi keterujaan sendiri buat peminat dua pelakon utamanya. Selain daripada itu, rasanya penonton tempatan dapat menilai sendiri.
The post Kimchi tak cukup perencah appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2nAhpQs✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment