Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pementasan semula naskhah Mesin dan Kopi - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pementasan semula naskhah Mesin dan Kopi

JIKA beberapa tahun sebelum ini, dunia teater dianggap lesu dan kurang mendapat sambutan penonton namun kini situasinya sudah berbeza.

Pembangunan teater tanah air dilihat semakin positif dan trend penerbitan juga dilihat semakin berdaya saing.

Teater tidak hanya tertumpu kepada pementasan berskala besar di pentas gah sahaja, tetapi kerancakannya turut dilihat di pentas berskala kecil.

Pada 29 Mac hingga 2 April lalu, Komrad Anak Teater baru saja mementaskan naskhah  Mesin dan Kopi yang berjaya menarik perhatian penonton menerusi himpunan kisah benar pekerja kolar putih.

Pengarahnya, Harith Amirul berkata, tema sedemikian menjadi pilihannya kerana dirasakan begitu dekat dengan masyarakat hari ini yang berdepan  masalah sama setiap hari.

“Idea menghasilkan cerita ini wujud tahun lalu ketika saya dan beberapa rakan masih menganggur walaupun kami adalah graduan dan mempunyai kelulusan yang baik untuk memohon kerja.

“Tekanan demi tekanan yang dilalui ketika itu menyedarkan kami kepada pelbagai masalah yang wujud tetapi tidak begitu diberi perhatian oleh masyarakat apatah lagi pihak berwajib,” katanya yang juga bertindak sebagai penulis skrip.

Mesin dan Kopi, sebuah naskhah bercerita tentang permasalahan tiga watak utamanya dijayakan oleh Farah Nina Zainuddin, Shamein Azlan dan Amirul Aiman yang  berdepan dengan masalah keluarga, buli, gangguan seksual dan politik di tempat kerja.

Permasalahan ini digabungkan dalam satu cerita kemudiannya membentuk konflik yang lebih besar sehingga dilihat mampu menjejaskan kehidupan masyarakat secara amnya dan keluarga khasnya.

“Saya menulis skrip ini selama 48 jam tanpa henti kerana tidak mahu idea dan apa yang saya fikirkan ketika itu terganggu sehingga membawa haluan naskhah ini ke arah lain.

“Bagaimanapun, untuk memperkemaskan naskhah ini agar menjadi lebih cantik dan relevan dengan situasi semasa, saya telah melakukan beberapa rombakan terutama untuk babak penting,” kata graduan teater dari Universiti Malaya itu.

Naskhah Mesin dan Kopi  adalah teater yang dipentaskan semula selepas kali pertama  dipertontonkan kepada khalayak Disember tahun lalu di lokasi sama, Studio Revolution Stage, Petaling Jaya.

“Ketika kali pertama dipentaskan, naskhah ini mendapat sambutan yang cukup baik walaupun waktu pementasannya agak terhad.

“Jadi ramai yang mencadangkan agar Komrad Anak Teater kembali mementaskan naskhah ini agar dapat memberi peluang kepada penonton yang tidak sempat menyaksikan pementasan pertama.

“Reaksi sama juga diberikan penggiat teater dan juga pemilik Revolution Stage, Khairunazwan Rodzy yang tertarik dengan naskhah ini dan mahu Komrad membuat pementasan semula,” jelas Harith yang memperkenalkan dua pelakon baru selain seorang lagi pelakon  asal.

Gabungan pelakon baik

Dalam pementasan kali ini juga, Harith turut melakukan beberapa perubahan dalam usaha memberi kelainan kepada meskipun masih menampilkan naskhah yang sama.

“Cabaran utama saya kali ini adalah untuk memberi pembaharuan kepada penonton biarpun pernah dipentaskan sebelum ini.

“Sebagai penulis dan pengarah, saya mahu memastikan apa yang ingin disampaikan menerusi mesej ini dapat difahami penonton dengan sebaiknya tanpa mereka terasa seperti terlalu dipaksa untuk menghadamkan apa yang diberikan.

“Alhamdulillah rata-ratanya suka dengan naskhah ini, malah mereka agak santai menonton biarpun sebenarnya sebuah naskhah agak berat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Harith yang sebelum ini pernah mengarah lebih 12 teater termasuk naskhah Pok Yek x Wak Leh dan Tercekik Dilema ini turut berpuas hati dengan persembahan pelakon dan mereka berjaya memberikan apa yang diperlukan.

“Bagaimana baik pun sesebuah naskhah itu jika pemainnya tidak dapat melaksanakan dengan sempurna mengikut tuntutan watak, pasti pementasan tidak akan berjaya,” akuinya.

Sementara itu, pelakon, Nina Zainudin yang memegang watak Hanna mengakui tidak mudah merealisasikan watak yang disifatkan mempunyai emosi ‘berlapis-lapis’.

“Hanna, seorang gadis berusia 22 tahun yang mengalami tekanan apabila berdepan dengan gangguan seksual di tempat kerjanya dan dalam masa sama telah membawa kembali ingatannya kepada sejarah lampau ketika dirogol abang tirinya sewaktu kecil.

“Permainan emosi perlu ditangani sebaiknya kerana saya tidak boleh memberi lebih dan tidak juga terlalu kurang untuk mengimbangi karakter Hanna yang sederhana.

“Dalam naskhah ini saya perlu tampil dengan beberapa monolog yang bukan mudah jika kita tidak dapat mengenal watak sebaiknya,” ujar satu-satunya pelakon asal yang dikekalkan daripada pementasan terdahulu.

Berkongsi cabaran yang dilaluinya, kata Nina, dia perlu banyak membuat kajian bagi memastikan dia memberikan pengisian yang betul kepada watak Hanna.

“Naskhah ini menampilkan tiga watak utama, namun setiap watak ada beberapa watak kecik yang wujud dalam cerita dan kisah mereka pula.

“Jadi selain menjadi Hanna, saya juga perlu mengisi watak yang ada dalam kisah dan hidup Hana di mana setiap satunya mempunyai perwatakan berbeza.

“Ia tidak mudah, namun menerusi latihan dan pelbagai, Alhamdulillah saya dapat melaksanakannya,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang Sains Geologi di Universiti Malaya.

Pelakon, Shamein Azlan pula menyifatkan Mesin dan Kopi ini sebagai naskhah yang memberi banyak pengalaman baru.

“Saya memegang watak sebagai Hakim, seorang pekerja kolar putih yang berusaha sedaya upaya memajukan diri demi memberikan kehidupan lebih baik kepada anak dan isteri namun tanpa menyedari dia memberi masalah lain kepada keluarganya.

“Saya suka watak ini apatah lagi dengan dialog cantik dan penuh isi membuatkan saya perlu melontarkannya sebaik mungkin agar mampu difahami penonton.

“Walaupun pengarah memberi kelonggaran untuk saya menukar dialog kolokial tersebut kepada perkataan yang lebih selesa untuk saya sebut dan sampaikan, namun saya berusaha mengekalkan kecantikan bahasa sedia ada,” ujar Shamein yang juga pelakon drama TV.

Selain watak Hakim, Shamein juga perlu melakonkan watak lelaki lembut.

“Ini pengalaman pertama saya membawakan watak begitu, namun dapat dilakukan dengan baik sekali atas bantuan pengarah dan rakan-rakan.

“Biarpun diakui watak saya agak berat, tapi itu tiada masalah malah seronok juga apabila diberikan cabaran baru dalam usaha melihat sejauh mana kebolehan lakonan saya,” katanya yang sebelum ini pernah menjayakan teater bangsawan Nujum Perawan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sinopsis

Mesin dan Kopi menceritakan tentang tiga pekerja iaitu Iqbal, Hanna dan Hakim yang bekerja di sebuah syarikat yang sama.

Ketiga-tiga mereka mempunyai kisah lampau yang tragik serta menyimpan memori hitam tersebut sekian lama.

Konflik terjadi apabila kisah lampau yang menghantui hidup mereka kembali berulang apabila mereka menjejakkan kaki ke Terbit Barat Corporation.

Di zaman yang serba tidak menentu dan menekan, mereka terpaksa menempuh kesengsaraan demi mengekalkan pekerjaan yang dimiliki.

Iqbal, Hanna dan Hakim masing-masing mengalami tekanan akibat pergolakan dalam diri dan dari orang keliling, cuba untuk mencari jalan keluar dari masalah yang membelenggu kehidupan mereka.

Namun tidak semua jalan penyelesaian yang terbentang berakhir dengan cara yang baik.

The post Pementasan semula naskhah Mesin dan Kopi appeared first on Berita Viral.

Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2oE4Pn5

✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral


(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.