Duit ‘busking’ Abot kena kebas!
Nama Abot pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu sebagai penyanyi alternatif wanita solo pertama Malaysia. Kehadirannya juga turut diselangi beberapa lagu popular antaranya, Camar dan Kasihmu.
Tentunya, imej berambut panjang dengan nyanyian bersuara serak membuatkan ramai yang mengingati namanya.
Kini, Abot atau nama sebenarnya, Narimah Mohamad, selesa menjalani kehidupannya sebagai isteri, ibu dan penyanyi jalanan atau ‘busker’ bersama suami, Jac atau nama sebenarnya Mohd Rafli Mohd Desa.
“Sehingga kini, sudah hampir dua tahun saya dan suami mewujudkan kumpulan busker, The Chors Buskers dan alhamdulillah, rezeki tidak putus buat kami sekeluarga,” katanya.
Bercerita mengenai kerjayanya itu, Abot mengakui ada kepuasan yang dirasakannya apabila tampil membuat persembahan di khalayak ramai.
“Seni itu sendiri memang mengalir dalam diri saya sejak awal kemunculan dalam industri. Apabila tidak lagi bergerak secara aktif, saya dapat rasakan kepuasan menerusi persembahan ‘busking’.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah memilih atau mengehadkan ruang untuk muncul membuat persembahan. Di mana juga lokasi tidak kiralah sama ada di jalanan mahupun untuk acara korporat, saya dan suami menerima kerana tujuan kami untuk menghiburkan,” katanya.
Ditanya mengenai bayaran yang diterimanya, Abot mengakui ada sesetengah tawaran diterima bukan hanya kerana bayaran semata-mata.
“Pada usia 40-an seperti saya, tentunya perkara utama yang saya kejar adalah keredaan Ilahi walaupun dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
“Ada sesetengah acara, penganjurnya tidak mampu menawarkan harga yang tinggi. Kami tetap terima kerana tujuan kami adalah untuk memeriahkan majlis dan menghiburkan.
“Secara tak langsung, ada juga kerja sedekah yang kami lakukan walaupun secara hiburan kerana seni itu indah,” katanya.
Bercerita mengenai kerjaya sebagai ‘busker’, ada juga pengalaman pahit yang terpaksa dihadapinya.
“Paling pahit adalah apabila duit kami kena songlap atau curi! Pernah beberapa kali, ketika membuat persembahan, ada individu yang datang hampir dengan tempat meletakkan wang kutipan dan dengan selamba mengambilnya tanpa rasa bersalah.
“Rasa sedikit kecewa apabila berlaku insiden sebegini tapi kadangkala kita tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.
Teringin sertai Gegar Vaganza
Ditanya sama ada dia menyimpan impian untuk muncul semula ke dalam industri arus perdana, Abot mengakui ada hasrat ke arah itu.
“Tentunya setiap penyanyi lama yang tidak lagi aktif menyimpan impian untuk membuat kemunculan semula. Bagi saya, kalau ingin muncul semula ke dalam industri, saya perlukan material muzik yang bersesuaian.
“Dulu, selera muzik peminat berbeza dengan hari ini. Saya tak boleh menyajikan karya yang sama seperti dulu kerana zaman sudah berubah. Jadi, sebelum membuat keputusan untuk muncul semula, saya perlu faham kehendak peminat hari ini,” katanya.
Sekiranya berpeluang, Abot mengakui ingin mencuba nasib dalam program realiti Gegar Vaganza.
“Program itu saya lihat sebagai platform terbaik untuk artis lama mencuba nasib. Kalau ada peluang, saya akan terima,” katanya.
Abot dan suaminya menghiburkan penonton di beberapa lokasi ‘busking’ antaranya Avenue K, Uptown Puchong dan Uptown Dataran Wangsa.
The post Duit ‘busking’ Abot kena kebas! appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2oqUzyh✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment