RTM Perlu Kaji Selera Penonton Masa Kini – Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM), disaran untuk membuat kajian bagi mengenal pasti perubahan minat, selera serta kepuasan khalayak pada masa ini bagi memastikan stesen penyiaran yang berusia 71 tahun itu terus relevan dan menjadi pilihan ramai.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM perlu serius melaksanakan kajian itu bagi membolehkan proses transformasi dilaksanakan dan mampu memikat perhatian masyarakat negara ini untuk terus mengikuti persembahan stesen itu.
“Ini adalah kerana sesuatu kaedah, persembahan atau penyampaian yang pada suatu musim menjadi minat dan kegilaan khalayak, mungkin tidak lagi sesuai dengan selera dan minat mereka di musim yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Sambutan Hari RTM ke-71 di Angkasapuri, di sini hari ini.
RTM meraikan ulang tahunnya pada setiap 1 April. Stesen penyiaran kerajaan itu kini mengendalikan tiga saluran televisyen, lapan saluran radio nasional dan 24 saluran radio negeri dan saluran radio daerah.
Menurutnya RTM telah melalui pelbagai proses transformasi antaranya pembaharuan yang dibuat melalui radio, televisyen dan media baharu yang amat memberangsangkan seperti dari segi teknik penyampaian, reka bentuk set, keterampilan penyampaian dan kualiti kandungan.
Namun, kata Salleh, momentum perubahan tidak boleh berhenti setakat itu kerana perubahan merupakan sesuatu yang dinamik dan RTM perlu berterusan melaksanakan proses transformasi.
“Transformasi dalam bidang penyiaran bukanlah satu usaha yang mudah. Banyak halangan dan cabaran yang ditempuhi dalam kembara transformasi ini.
“Namun saya yakin dan percaya bahawa dengan kesepaduan dan jalinan kerja yang erat di antara kementerian dan RTM, transformasi yang sedang dilaksanakan ini akan berjaya mencapai objektifnya,” katanya.
Salleh juga berkata pembangunan modal insan dan bakat RTM akan terus diperkasakan melalui pelbagai usaha bersama Jabatan Perkhidmatan Awam termasuk menambah peluang kenaikan pangkat para kakitangan dalam pelbagai skim.
Menurutnya skim khas seperti Penerbit Pakar dan Jurutera Pakar juga sedang dikaji.
Pada majlis itu, RTM diumumkan menjadi Hos Penyiar Sukan SEA ke-29 yang bakal berlangsung 19 hingga 31 Ogos nanti.
Turut hadir Timbalan Menteri KKMM Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah RTM Datuk Abu Bakar Ab Rahim.
— BERNAMA
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2omei1v✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment