Sentuhan Baharu Dan Nostalgik ‘Power Rangers’
MEMANG tidak dinafikan lagi, bagi mereka yang membesar pada era 90-an, siri televisyen Mighty Morphin Power Rangers atau singkatannya, Power Rangers antara hiburan yang cukup digemari dan popular ketika itu.
Sehinggakan populariti yang dikecap oleh siri televisyen ciptaan Haim Saban dan Shuki Levy (kedua-duanya anak kelahiran Israel) itu pernah mencetuskan perdebatan di negara ini gara-gara penggunaan perkataan morphin.
Dek kerana perkataan yang kononnya ada kaitan dengan benda terlarang itu walhal kandungan siri tersebut tiada kaitan langsung dengan penggunaan dadah, jika tidak silap perhitungan penulis, siri berkenaan pernah diharamkan seketika sehinggalah morphin itu tidak lagi digunakan.
Pun begitu, ia langsung tidak menghalang kanak-kanak dan remaja untuk menikmati Power Rangers dan meletakkan remaja terpilih menjadi adiwira yang menyarungkan kostum berona terang itu menjadi karakter kegemaran mereka.
Jujurnya juga, Power Rangers bukanlah siri kegemaran penulis, mungkin disebabkan usia penulis ketika ia hangat ditayangkan itu, namun, penulis sempat menonton filem cereka pertamanya, Mighty Morphin Power Rangers: The Movie (1995) di pawagam.
Biarpun siri televisyennya meledak di seluruh dunia, namun, filem pertama Power Rangers dan filem susulannya, Turbo: A Power Rangers Movie (1997) tidak berupaya mencatatkan kutipan pecah panggung selain mendapat ulasan negatif pengkritik.
Justeru, selepas lebih dua dekad, Power Rangers dilahirkan semula dengan satu persoalan yang berlegar di minda penulis tatkala mendapat perkhabaran tentang pembikinan filem versi baharu ini.
Apakah Power Rangers masih relevan dalam dekad ini yang telah cukup banyak disogokkan dengan filem adaptasi komik adiwira Marvel dan DC Comics?
Demi menjana keuntungan, Hollywood dengan pastinya menolak tepi soal berkenaan.
Penulis melihat kelahiran semula Power Rangers yang mendapat sentuhan pengarah, Dean Israelite ini adalah untuk mengimbau nostalgia buat peminat dan menarik perhatian peminat baharu terutama generasi milenial yang barangkali begitu asing dengan jenama Power Rangers.
Berpeluang menonton Power Rangers baru-baru ini, memang benar apa yang penulis sangkakan. Dari satu sudut, filem ini memang berjaya membangkitkan nostalgia dengan mengekalkan struktur pembinaan cerita Power Rangers itu sendiri.
Sehubungan itu, audiens dengan mudahnya diperkenalkan menerusi lima watak remaja bermasalah yang kemudiannya telah tertulis dipertemukan dalam satu insiden sehingga membawa mereka ke satu fasa baharu.
Melihat kepada jalan ceritanya sahaja, memang cukup klise dan tiada apa yang baharu. Penulis percaya itu apa yang dimahukan oleh penerbit filem ini dalam usaha mereka untuk memperkenalkan cerita dan karakter ini kepada khalayak baharu khususnya.
Positifnya dalam penghasilan filem Power Rangers ini adalah sentuhan baharu dan sofistikated itu langsung tidak membuatkan elemen nostalgik itu lari jauh.
Ternyata sinergi berkenaan telah meletakkan Power Rangers versi baharu ini berada dalam kedudukan sendiri.
Sofistikated itu juga merujuk kepada rekaan kostumnya, penataan seni, teknik imej janaan komputer (CGI) dan babak aksi yang tidak lagi kelihatan begitu cartoonish dan dibikin seadanya seperti mana dalam siri televisyen.
Bahkan, watak dan imej Zordon (lakonan bekas calon Oscar, Bryan Cranston), Alpha 5 (penyumbang suara oleh Bill Hader) dan Rita Repulsa (Elizabeth Banks) juga diperbaharui untuk menjadikan ia lebih relevan dengan zaman ini.
Benar… Seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman, semuanya berubah dan tidak salah untuk melahirkan semula Power Rangers yang nampaknya kini kembali menjadi sebutan ramai.
Sehinggakan lagu tema Power Rangers yang dimainkan sewaktu lima adiwira itu bertukar rupa dan bersedia untuk bertempur dengan Rita Repulsa dan Goldar juga mengalami evolusinya, namun, semangat lagu berkenaan tetap kekal.
Lebih menarik, dua bintang asal siri televisyen Power Rangers iaitu Amy Jo Johnson dan Jason David Frank (peminat tegar pasti mengenali mereka kerana penulis sendiri dapat mengecam mereka) turut membuat kameo yang menyumbang kepada elemen nostalgik Power Rangers.
Secara lahiriah, Power Rangers memang sebuah filem untuk hiburan semata-mata dan seperti mana yang dikatakan, kelahiran semulanya tidak lain adalah untuk terus mengaut keuntungan serta mahu mencipta satu francais baharu.
Dikhabarkan, Lionsgate selaku penerbit sudah bersedia untuk menerbitkan enam hingga tujuh filem susulan Power Rangers selepas ini.
Perkara itu memang tidak dapat dinafikan lagi terutama pada babak terakhir filem ini yang sudah memberi bayangan bahawa akan ada ahli baharu Power Rangers dalam filem seterusnya.
The post Sentuhan Baharu Dan Nostalgik ‘Power Rangers’ appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2nNeqoO✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment