Chong Wei Sah Sertai Seluruh England
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mendapat lampu hijau untuk beraksi di Seluruh England. – Foto Owee Ah Chun.
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mendapat lampu hijau untuk beraksi di Seluruh England, sekali gus menghidupkan kembali misi memburu gelaran keempat kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung di Birmingham, 7 hingga 12 Mac ini.
Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan yang mengesahkan perkara itu, berkata hasil ujian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dijalankan semalam mendapati Chong Wei sudah pulih daripada kecederaan lutut yang dialami, sekali gus membolehkannya untuk beraksi.
“Saya sudah berbincang dengan semua yang terbabit termasuk fisioterapi, Sandra (Fiedler) dan dia memberikan reaksi positif. Semua berpendapat kecederaan Chong Wei sudah pulih dan boleh menyertai Seluruh England.
“Daripada aspek fizikal dan kecergasan, Chong Wei tiada masalah berdasarkan latihan sepanjang minggu lalu, cuma dia akan berhati-hati.
“Namun, minggu ini semuanya nampak sudah kembali normal,” kata Hendrawan ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan lutut pada 4 Februari lalu selepas tergelincir akibat lantai permukaan gelanggang ABM (ABM) licin.
Kecederaan itu hampir memusnahkan impiannya untuk beraksi buat kali pertama dalam kejohanan antarabangsa selepas hampir empat bulan tanpa aksi kompetitif.
Mengulas lanjut, Hendrawan percaya Chong Wei akan memberikan aksi terbaiknya kerana keinginannya untuk beraksi di Seluruh England cukup tinggi dan dia bekerja keras untuk kembali pulih.
“Dengan keadaan Chong Wei seperti ini (baru pulih daripada kecederaan), memang agak sukar. Namun, pengalaman yang dimiliki Chong Wei serta semangat juangnya yang tinggi, saya pasti dia akan memberikan aksi paling maksimum.
“Sudah lama dia tidak menyertai kejohanan antarabangsa, ini adalah yang paling lama sepanjang kerjayanya. Jadi, sudah pasti dia perlu mendapatkan semula rentaknya,” kata Hendrawan yang tidak akan menemani Chong Wei ke Birmingham kerana masalah kesihatan, sebaliknya diiringi penolongnya, Tey Seu Bock.
Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama akan membuka tirai saingan menentang pemain daripada pusingan kelayakan untuk aksi pusingan pertama pada 8 Mac.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2m5ubJ4✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment