MSI Mengumumkan Siri Kad Grafik Aero ITX Untuk Komputer Bersaiz Kompak
Penggemar binaan PC hari ini mempunyai pelbagai pilihan untuk membina komputer kegemaran mereka, termasuklah binaan yang menggunakan reka bentuk yang kompak, tetapi hadir dengan spesifikais tinggi. Walaupun papan induk hari ini mempunyai saiz yang sangat kecil seperti microATX dan miniITX, kad grafik merupakan salah satu halangan yang terbesar bagi ramai orang untuk membina komputer bersaiz kompak, tapi berkuasa.
Semua itu bakal berubah selepas ini, kerana MSI baru sahaja mengumumkan siri kad grafik bersaiz kecil, MSI Aero ITX – yang akan muat ke dalam cangkerang komputer yang terkecil sekalipun.
Siri kad grafik MSI Aero ITX ini menggunakan kad grafik dari NVIDIA, termasuklah GTX 1070, GTX 1060, GTX 1050Ti dan GTX 1050. Yang menariknya, dalam siri Aero ITX ini, pengguna boleh memilih sama ada mereka mahu membeli kad grafik yang di-overclock, ataupun yang biasa.
MSI Aero ITX GTX 1070 adalah kad grafik yang terbesar dalam siri ini, dengan panjang 18.4cm, kelebaran 14.4cm dan juga ketebalan dua slot pengembangan, Ia disejukkan dengan timbunan sirip aluminum yang padat, tiga paip haba dengan ketebalan 8mm, dan juga kipas 100mm TorX yang menggunakan rekaan istimewa MSI.
Kad ini juga di-overclock, dengan kelajuan asas 1531MHz, dengan BoostClock sebanyak 1721MHz. Versi yang tidak di-overclock pula mempunyai kelajuan asas biasa 1506MHz dan BoostClock sebanyak 1683MHz.
MSI Aero ITX GTX 1060 pula hadir dalam variasi model memori 6GB dan 3GB. Sama seperti sebelum ini, kedua-dua variasi ini akan mempunyai pilihan di-overclock dan sebaliknya.
Reka-bentuk kad ini juga lebih kecil daripada kad GTX 1070, iaitu dengan panjang 17.5cm, dan kelebaran 11.5cm. Untuk penyejukan pula, kad ini menggunakan tibunan sirip aluminum yang sama, tetapi menggunakan paip haba yang sedikit berbeza. Untuk mengalihkan haba, kad ini menggunakan kipas 80mm.
Kedua-dua kad variasi 6GB OC dan 3GB OC berkelajuan 1544MHz dengan BoostClock 1759MHz. Versi tidak di-overclock pula mempunyai kelajuan asas 1506MHz dan BoostClock 1709MHz.
MSI Aero ITX GTX 1050Ti dan GTX 1050 pula lebih kecil daripada kedua-dua kad diatas. Ia hadir dengan saiz ukuran panjang 15.5cm dan kelebaran 11.2cm. Sama seperti sebelum ini, kedua-dua kad ini juga hadir dengan versi di-overclock dan tidak di-overclock.
Versi di-overclock akan hadir dengan kelajuan 1341MHz dengan BoostClock 1455MHz, manakala versi tidak di-overclock akan menawarkan kelajuan 1290MHz dengan BoostClock 1392MHz.
Dengan pilihan-pilihan kad grafik kecil ini dari MSI, anda tidak lagi perlu risau tentang kemampuan komputer binaan kecil anda, kerana ia mampu bertanding dengan binaan-binaan yang lebih besar.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lchbjO✍ Sumber : ☕ Amanz
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment