Svitolina Tarik Diri Angkara Cedera
ELINA Svitolina. – Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ALYA 2017 yang sedang berlangsung bakal mendapat juara baharu, susulan juara bertahan, Elina Svitolina terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu akibat kecederaan, hari ini.
Ini juga menunjukkan buat tujuh kali berturut-turut, tiada daripada juara bertahan berjaya mengekalkan gelaran itu, sejak kejohanan pertama membuka tirai pada 2010.
Selepas menjulang gelaran di Terbuka Taiwan pada Januari dan Kejohanan Dubai pada Ahad, Svitolina buat julung kalinya melonjak ke kelompok 10 pemain terbaik dunia semalam dengan kemenangan 6-2, 6-3 ke atas Jang Jeong Su dari Korea Selatan dalam pusingan pertama di TPC Kuala Lumpur, di sini.
Bagaimanapun, hasratnya untuk mencipta sejarah menjadi pemain pertama mempertahankan gelarannya di Terbuka Malaysia musnah akibat mengalami kecederaan achilles di kaki kirinya, yang masih menghantui pemain Ukraine itu dalam perlawanan pertamanya di sini.
“Saya berharap untuk mempertahankan gelaran saya dan teruja untuk beraksi di sini tetapi malangnya, saya terpaksa menarik diri kerana kecederaan pada bahagian bawah kaki.
“Saya berasa tidak selesa pada perlawanan akhir saya di Dubai dan saya berharap untuk pulih tetapi walaupun saya menang semalam, saya perlu pastikan saya menjaga kesihatan saya untuk baki musim ini,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan oleh penganjur, hari ini.
Svitolina menjadi pemain ke-120 untuk disenaraikan dalam kelompok 10 pemain terbaik sejak Ranking WTA diperkenalkan pada 3 Nov, 1975, selepas menjuarai gelaran di Dubai.
Pemain Jepun, Nao Hibino, yang dijadual bertemu Svitolina pada pusingan kedua esok, mendapat kemenangan percuma untuk mara ke suku akhir.
Sementara itu, pengarah kejohanan Keld Kristiansen berkata penyelia WTA Chen Su telah mengesahkan penarikan diri Svitolina.
“Achilles yang bengkak adalah serius dan beliau dinasihat untuk tidak meneruskannya. Sebaiknya beliau berehat dan pulih sepenuhnya untuk mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk,” kata Kristiansen.
Menerusi kemenangan semalam, pemain berusia 22 tahun itu dalam pemburuan untuk menjulang kejuaraan ke-13.
Berikutan pemain pilihan kedua kejohanan Carla Suarez Navarro dari Sepanyol dan pemain pilihan ketiga Caroline Garcia dari Perancis sudah ditunjukkan jalan keluar semalam, peluang untuk pemain Asia memenangi gelaran itu kekal cerah.
Hsieh Su-wei dari Chinese Taipei adalah satu-satunya pemain Asia yang pernah menang gelaran itu pada 2012.
BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mKXugV✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment