86 Mesin Judi Disita Di Kerian
Spread the love
BAGAN SERAI – Sebanyak 86 mesin judi disita selain wang tunai RM2,730 dirampas dalam serbuan ke atas beberapa premis oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini semalam.
Pegawai Turus D7 IPK Perak, DSP Annadurai Veloo berkata serbuan pada pukul 4 petang hingga 9 malam itu melibatkan dua pusat hiburan keluarga dan sebuah hotel hasil maklumat awam serta risikan anggota.
Katanya dalam serbuan itu, lapan warganegara asing masing-masing lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Indonesia dan seorang wanita warga Indonesia yang sedang berjudi ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Selain itu, kita juga menahan 13 warga tempatan yang dipercayai bertugas sebagai penjaga pusat hiburan keluarga untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Annadurai, seramai 42 warga tempatan dipercayai pemain judi mesin slot turut dipanggil ke IPD Kerian bagi memberi keterangan.
Menurutnya ketiga-tiga premis itu memiliki lesen hiburan keluarga sebelum ini, namun telah tamat tempoh pada 31 Dis 2016 dan tidak diluluskan permohonan memperbaharui lesen oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata kesemua premis itu dipercayai diuruskan oleh seorang individu yang sama dan pernah diserbu sebelum ini.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 48 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995.
Polis akan meneruskan pemantauan di semua premis pusat hiburan keluarga di daerah Kerian bagi mengelakkan penularan mesin permainan berunsurkan perjudian, katanya. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment