‘Kill switch’ pada motosikal – ada cara guna tertentu?
Butang ‘kill switch‘ ini sebenarnya adalah satu kelengkapan asas yang sudah ada pada kebanyakan motosikal. Selain kapcai atau motosikal berkapasiti enjin rendah, pada bahagian kanan pemegang, anda pasti akan dapat melihat butang merah yang boleh mematikan enjin, tetapi kelengkapan lain yang menggunakan kuasa elektrik seperti lampu masih lagi berfungsi. Walaubagaimanapun, kini sudah ada semakin banyak kapcai yang mempunyai ciri ini.
Tetapi, dalam dunia motosikal terdapat percanggahan pendapat tentang bila ia sepatutnya digunakan. Kita sendiri boleh melihat, ada penunggang motosikal, yang setiap kali ingin berhenti, akan menggunakan butang ini, dan bukannya memutarkan kunci. Ada yang dari jauh lagi, sudah menarik klac dan menekan butang ini, seterusnya membiarkan saja motosikal meluncur sehingga berhenti.
Dalam pandangan yang berlainan, ada pengguna motosikal yang mengatakan bahawa penggunaan kill switch secara kerap adalah tidak elok, tetapi tidak ada bukti atau penjelasan kukuh untuk menyokong pendapat ini. Sebab yang diberi adalah ‘takut ia akan rosak’. Memikirkan secara logik, ada benarnya kerana suis ini mempunyai ‘contact point‘ yang halus di dalamnya, dan apabila kerap digunakan, ia mungkin akan menyebabkan kehausan.
Kill switch direka sebagai pilihan untuk mematikan enjin dengan sebab tertentu. Ia adalah ciri keselamatan yang boleh membantu penunggang mengelakkan kecelakaan dalam keadaan tertentu. Disebabkan itu, ia berwarna terang (kebanyakannya merah) dan terletak di tempat yang sangat mudah dicapai tanpa perlu mengalihkan tangan daripada pemegang.
Salah satu keadaannya, adalah apabila terdapat kerosakan pada pendikit dan motosikal masih memecut walaupun sudah dilepaskan. Dalam keadaan ini, suis kill switch dapat membantu mematikan enjin seterusnya penunggang akan dapat mengawal kembali motosikal.
Dalam keadaan lain, mengambil motosikal offroad sebagai contoh, apabila terjatuh dan enjin masih lagi hidup dan tayar berpusing, suis ini adalah benda pertama yang perlu dicapai supaya tayar yang berpusing itu tidak akan menyebabkan masalah lain selepas itu seperti terkena anggota badan penunggang atau motosikal jadi berpusing di atas tanah.
Ada antara sekolah menunggang di luar negara menggalakkan penggunaan kill switch secara kerap supaya apabila perlu digunakan dalam waktu kecemasan, penunggang boleh mencapainya dengan pantas kerana sudah biasa dan anda tahu ia berfungsi. Namun seperti yang dikatakan tadi, pendapat ini ditentang sebahagian pemilik motosikal kerana penggunaan kerap dikhuatiri akan merosakkan suis tersebut dan tidak dapat digunakan apabila perlu.
Daripada pandangan penulis, tidak kisahlah bagaimana pun anda menggunakan suis ini, asalkan anda tahu ia sentiasa berfungsi dan boleh digunakan apabila tiba waktunya. Ini adalah penting dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda. Bagi yang lebih gemar mematikan enjin dengan memutarkan kunci, sekali sekala periksalah suis ini supaya bahagian contact point tadi tidak teroksida dan masih boleh digunakan.
Bagaimana pula dengan anda? Apa pendapat, bila dan kenapa anda menggunakan butang kill switch ini?
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2ltxuHu✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment