Al Amin Nafi Terlibat Dengan ‘Gentlemen’s Agreement
Spread the love
KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohd Al Amin Abdul Majid menafikan beliau terlibat dengan perjanjian yang dikatakan ‘gentlemen’s agreement’ berhubung peralihan dalam kepimpinan badan induk itu.
Al Amin dalam kenyataan hari ini, menegaskan keputusan untuk memilih kepimpinan baharu persatuan itu harus dilakukan oleh perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) BAM yang dijangka pada April ini.
“Sejak beberapa hari lepas, banyak wartawan mahu mendapatkan komen saya berhubung kenyataan (Presiden BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff seperti yang dilaporkan dalam media mengenai jawatan presiden BAM.
“Saya sudah membaca surat yang dikeluarkan oleh beliau, tetapi saya ingin menjelaskan saya bukan terbabit dalam ‘gentlemen’s agreement’ itu. Saya menghargai usaha Tengku Mahaleel dalam menamakan penggantinya sebagai presiden BAM.
“Namun, pemilihan kepimpinan BAM adalah terletak di tangan perwakilan yang menghadiri AGM persatuan itu, yang terdiri daripada kepimpinan persatuan badminton negeri-negeri,” katanya.
Kenyataan itu disertakan dengan e-mel yang dihantar pada 1.20 petang tadi, berhubung pembatalan sidang media oleh Al Amin yang dijadual pada 2 petang di Akademi Badminton Malaysia di sini, atas alasan kesihatan.
Khabar angin bertiup kencang bahawa Tengku Mahaleel yang akan melepaskan jawatan sebagai presiden BAM telah mengeluarkan surat kepada anggota majlis BAM pada Khamis lepas, berhubung perjanjian itu dengan ‘orang atasan’ daripada Kementerian Belia dan Sukan sebagai saksi.
Difahamkan, mengikut ‘gentlemen’s agreement’, Al Amin yang merupakan Timbalan Presiden, diberi tugas memangku jawatan presiden sehingga berakhir Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang juga Timbalan Presiden, akan mengambil alih jawatan sebagai presiden bermula dari 2017.
Tengku Mahaleel, yang memutuskan untuk ‘berehat’ berikutan masalah kesihatan, sudah menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden bagi pemilihan baharu BAM pada April ini.
Namun, kemelut itu mungkin menyaksikan dua calon presiden BAM, Al Amin dan Mohamad Norza akan terbabit dalam perebutan untuk jawatan berkenaan walaupun ‘gentlemen’s agreement’ telah menyatakan berhubung proses peralihan kepimpinan badan induk itu.
“Sepanjang 20 tahun penglibatan saya bersama BAM, persatuan ini sentiasa ada jalan penyelesaian terbaik dan secara demokrasi berhubung peralihan kepimpinan. Saya percaya ia tidak akan berbeza pada tahun ini, terutama memandangkan tahun ini adalah bagi pemilihan pucuk pimpinan,” kata Al Amin. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment