Honda City 2017 Facelift Dilancarkan Untuk Pasaran Malaysia – Hanya 3 Varian, Harga Bermula RM78k
Selepas sebulan tempahannya dibuka, Honda City 2017 telah pun dilancarkan hari ini. Seperti mana yang pernah dimaklumkan sebelum ini, City 2017 dikurangkan kepada tiga varian sahaja iaitu S, E dan V, berbanding empat varian pada model terdahulu (termasuk S+).
Honda Malaysia mengumumkan tiada peningkatan harga bagi model City 2017. Ia masih kekal pada harga atas jalan iaitu RM78,300 bagi varian S (yang dipertingkatkan dari varian S+ pada model terdahulu), varian E pula RM84,600 dan RM92,000 untuk model spesifikasi tertinggi, V.
Walau bagaimana pun, terdapat perubahan luaran dan dalaman yang dilakukan bagi menampilkan kesegaran pada City 2017 ini. Untuk bahagian hadapannya, ia menampilkan Solid Wing Face bersama bar krom baharu yang lebih tebal iaitu inspirasi daripada Civic baharu dan nampak menonjol pada gril hadapan ‘sarang lebah’ yang diperkemaskinikan bersama jaluran krom.
Malah ia turut diapit dengan sepasang lampu utama baharu, menjadikan rupanya seakan Civic versi lebih kecil. Bukan itu sahaja, bampar hadapan turut dikemaskini dengan perumah lampu kabus yang lebih pendek serta gril bawah yang lebih lebar.
Bagi varian tertinggi V, ia menerima lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu belakang, lampu kabus dan lampu brek ketiga LED, spoiler pada but belakang dengan gaya ‘ducktail’ serta rekaan roda aloi dua-tona baharu bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 185/55R16.
Manakala varian S dan E dipadankan dengan lampu hadapan dan belakang halogen, lampu nyalaan siang LED dan roda aloi juga rekaan dua-tona baharu bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 175/65R15.
Malah City 2017 ini juga telah diberikan suntikan yang lebih segar bagi bahagian kabinnya. Semua variannya
ditampilkan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Bagi varian S dan E, ia menampilkan tempat duduk fabrik yang direka semula (dengan jaluran tengah ala Civic), manakala varian V kekal dengan material kulit.
Jika model dahulu, hanya varian E dan V sahaja yang menerima kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, meter kombinasi pelbagai-informasi termaju dan kawalan audio pada roda stereng, kini elemen tersebut turut ditampilkan pada varian S. Malah kini varian E turut ditampilkan dengan suis kawalan kelajuan pada stereng dan pedal penukar gear, sama seperti V.
Namun terdapat elemen tambahan bagi varian E dan V iaitu kamera undur pelbagai-sudut. Malah varian V turut dilengkapi dengan sentuhan lembut pada panel instrumen dan material kulit yang membaluti roda stereng dan tombol gear. Elemen yang masih kekal untuk kesemua varian termasuklah pendingin hawa automatik dengan Touch Panel bagi varian E dan V, manakala manakala manual untuk S.
Bagi sistem audio, varian E dan V dilengkapi dengan Paparan Audio 6.8-inci dengan HDMI, dan standard audio untuk S, masing-masing menerima satu port bagi USB, kit telefon bebas-tangan, lapan-pembesar suara bagi V (hanya empat untuk S dan E)
Manakala Sistem keselamatan dan elektronik lain seperti ABS bersama EBD, Bantuan Brek (BA), Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan juga Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) masih dikekalkan untuk semua varian. Enam-beg udara turut kekal sebagai ciri untuk varian V sahaja (hanya dua untuk varian lain).
Semua varian City 2017 ini turut menerima penarafan lima-bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat-bintang untuk Perlindungan penumpang Kanak-kanak (COP) daripada ASEAN NCAP.
Tiada perubahan mekanikal ditampilkan di mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. City 2017 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 km.
Malah tiada perubahan bagi sistem suspensinya, masih kekal dengan topang MacPherson untuk hadapan dan Torsion Beam di belakang. Begitu juga dengan sistem brek dengan cakera Vertilated di hadapan dan dram di belakang.
Ia juga masih mengekalkan dimensi ukurannya iaitu panjang 4,442 mm, lebar 1,694 mm, tinggi 1,477 mm dengan jarak roda 2,600 mm. Begitu juga dengan kapasiti bagi ruang but iaitu 536 liter sekiranya tempat duduk belakang dalam keadaan normal dan kapasiti ini masih mendahului kelasnya di bawah segmen yang sama.
Warna yang ditawarkan bagi City 2017 ialah Lunar Silver Metallic, Taffeta White, Dark Ruby Red Pearl, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Seperti modelnya yang lain, Honda Malaysia turut menawarkan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad, servis percuma yang berselang dengan berbayar sehingga 100,000 km dan servis lanjutan berjadual setiap 10,000 km.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lYt6QQ✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment