Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kena pecat sebab kritik keluarga al-Saud? 5 fakta hubungan Malaysia-Arab Saudi - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kena pecat sebab kritik keluarga al-Saud? 5 fakta hubungan Malaysia-Arab Saudi

Kena pecat sebab kritik keluarga al-Saud? 5 fakta hubungan Malaysia-Arab Saudi

Arab Saudi adalah antara negara yang terkaya di rantau Arab. Beza sistem beraja antara negara ni dan Malaysia adalah Arab Saudi mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak manakala Malaysia pulak mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Pada hari Ahad yang lalu, negara kita menyambut kedatangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Baginda juga digelar sebagai ‘Penjaga dua Masjid Suci’ iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Lawatan baginda ni sebenarnya penting dan bersejarah kerana sebelum ni hanya dua kali je Raja Arab Saudi adakan lawatan ke negara kita. Pertamanya pada tahun 1970 oleh Almarhum Raja Faisal al-Saud pada 1970 dan Almarhum Raja Abdullah al-Saud pada 2006.

Raja Salman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya (UM) yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Imej dari The Malay Mail Online.

Kedatangan Raja Salman ni boleh dikatakan sebagai penghormatan kepada Malaysia lebih- lebih lagi Malaysia jadi negara pertama di Asia Tenggara yang baginda lawati. Sebenarnya hubungan diplomatik antara Malaysia-Arab Saudi ni dah lama iaitu…

1. Sejak zaman Kesultanan Melaka lagi hubungan diplomatik dengan Arab Saudi dah bermula

Sebelum Malaysia dan Arab Saudi jadi sebuah negara moden, Malaysia dikenali sebagai Tanah Melayu dan Arab Saudi sebagai Tanah Arab. Hubungan antara kedua negara ni bermula sejak zaman kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) iaitu lebih kurang 617 tahun dahulu. Hubungan ni dipelopori oleh pedagang-pedagang Arab yang datang dari Oman, Aden, Jeddah dan al-Jahra.

Imej dari flickr.com

Pedagang-pedagang ni dah bawa macam-macam barang ke Melaka seperti perak, kismis, mutiara, air mawar dan sebagainya. Pada masa tu, Melaka jadi pusat perdagangan dan dalam waktu yang sama jadi pusat penyebaran Islam di Kepulauan Melayu (Nusantara). Bagaimanapun pada tahun 1511, hubungan antara Tanah Melayu dan Semenanjung Arab mula terganggu akibat penjajahan Portugis.

Pada 1600 pulak, pedagang Arab mula hilang monopoli kat Melaka akibat penjajahan Inggeris dan Belanda. Tapi bila British mula menghapuskan duti kastam pada awal abad ke 19, perdagangan antara Tanah Melayu dan Semenanjung Arab mula kembali normal, malah menarik ramai lagi pedagang lain terutamanya dari China.

2. Tunku Abdul Rahman ada hubungan yang rapat dengan Raja Faisal

Selepas merdeka, Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik kerana meletakkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaannya. Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman ada cadangkan supaya sebuah pertubuhan dibentuk untuk menyatukan negara-negara Islam seperti mana yang dibuat oleh Pertubuhan Komenwel.

Bakal ketua Komenwel. Imej dari rt.com

Pada Januari 1964, cita-cita tu hampir tercapai bila Malaysia jadi tuan rumah persidangan pertama Kongres Islam Sedunia bagi Rantau Asia Tenggara. Bermula dari situlah hubungan Malaysia dengan negara-negara Asia Barat mula bertambah erat. Lepas tu, Malaysia sekali lagi jadi tuan rumah untuk Persidangan Islam Antarabangsa pada 1969.

Persidangan ni dianggap sebagai bermulanya kerjasama dan kebangkitan negara-negara Islam dunia. Tapi pada 21 Ogos 1969, telah berlaku pencerobohan Israel ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, samapai terpaksa diadakan sidang kemuncak ketua-ketua kerajaan Islam di Rabat, Maghribi dan bermula dari situlah bermulanya proses penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Akhirnya OIC ditubuhkan pada 25 September 1969.

Kelihatan Raja Faisal, Gaddafi dan Yasser Arafat kat sebuah masjid di Pakistan, bersempena dengan Sidang Kemuncak OIC 1974. Imej dari lutfislam.blogspot

Setahun selepas tu pada 1970, buat kali pertamanya Raja Arab Saudi melawat Malaysia iaitu Raja Faisal al-Saud (Almarhum). Ketika itu jugaklah Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agung OIC pertama dari 1971 hingga 1973.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang berbeza dari Arab Saudi atau pun Iran… Saya pernah bagitau Sultan Faisal (Arab Saudi) kalau dia nak Setiausaha Agung Organization of Islamic Conference (OIC), pergi cari orang lain.

Saya sayangkan dunia. Minum, menari, dan berjudi. Susah nak buang tabiat ni masa umur 67. Sultan Faisal sengih dan bercakap ‘saya tahu, tapi saya bukan tengah mencari sorang imam’.” – Tunku Abdul Rahman, dipetik dari Conversation with Tunku Abdul Rahman.

Raja Faisal disambut Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Timbalan Yang di-Pertuan Agong masa tu) pada Jun 1970. Imej dari Berita Harian.

Hubungan diplomatik moden antara Malaysia – Arab Saudi secara rasminya diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman yang ada hubungan rapat dengan Almarhum Raja Faisal. Malaysia masa tu pun boleh dikatakan bertuah sebabnya ramai sarjana Barat yang sifatkan kerajaan Arab Saudi sebagai negara ‘berahsia’ yang tak mudah nak berkerjasama dengan pihak yang diorang tak tahu latar belakang.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman pada mulanya berdepan pelbagai detik canggung (kekok) untuk mengadap Raja Faisal kerana pertemuan ketika itu membabitkan masa depan Malaysia dan peluang untuk negara mengorak kemajuan pembangunan.

Mungkin ramai tidak tahu, kebanyakan sarjana Barat menyifatkan Kerajaan Arab Saudi sebagai negara ‘berahsia’ kerana mereka tidak akan sewenang-wenangnya melaksanakan sebarang perkongsian jika tidak mengenali latar belakang sesuatu pihak.” – Prof Madya Dr Asmady Idris, dipetik dari Berita Harian.

Tapi dengan penemuan Tunku dan Raja Faisal itulah bermulanya hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi yang kerajaan kita nikmati hari ini. Hubungan baik ini juga membuatkan Arab Saudi sebagai negara utama yang bagi bantuan kewangan kepada Malaysia.

3. Beratus juta ringgit bantuan kewangan Arab Saudi kepada Malaysia

Sebenarnya ada dua bentuk bantuan kewangan yang diberikan oleh Arab Saudi. Pertama: bantuan kewangan melalui Tabung Pembangunan Saudi/Saudi Development Fund (SFD). Dana dari SFD ni selalunya digunakan untuk pembangunan institusi agama dan menyokong usaha dakwah.

Kerajaan Saudi sememangnya jadi penyokong kuat dalam membantu aktiviti-aktiviti agama ni termasuklah derma kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan jugak bantuan kewangan untuk bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Jenis bantuan kedua pulak adalah bantuan kewangan secara terus untuk menyokong pembangunan ekonomi Malaysia.

Tunku jugak dianggap sebagai ‘Bapa PERKIM’. Imej dari sustainablelivinginstitute.blogspot

Selain bagi bantuan kewangan, kerajaan Saudi jugak bagi beratus buah naskah al-Quran, buku-buku agama dan khutbah Jumaat kepada beberapa institusi agama di Malaysia. Bantuan kewangan (dalam bentuk pinjaman) pertama yang dibagi Arab Saudi kepada Malaysia adalah bermula pada zaman Tun Razak iaitu bernilai US$200 juta (RM893.5 juta nilai masa tu).

Dana ni digunakan sebaiknya untuk beberapa projek pembangunan seperti: Universiti Teknologi Malaysia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Projek Penempatan Ulu Kelantan dan Projek Penempatan Pahang Tenggara. Dari 1976-1983, Malaysia terus dapat bantuan kewangan dari Arab Saudi untuk tiga lagi projek pembangunan:

  • Projek Penempatan Lepar Utara (SR$52.70 juta)
  • Pembinaan 5 Maktab Rendah Sains MARA (SR$15.20 juta)
  • Pembinaan 5 buah hospital baru daerah (SR15.90 juta)

Bila Dr Mahathir pulak jadi Perdana Menteri, bantuan Arab Saudi masih berjalan macam pembinaan 5 buah hospital di Kedah, Kelantan dan Terengganu (RM10.6 juta) dan pinjaman bernilai RM132.2 juta untuk fasa kedua Projek Pelabuhan Pulau Pinang dan Projek Lebuhraya Timur-Barat. Tapi, pada lewat tahun 1980an, hubungan ekonomi Malaysia-Arab Saudi mula berubah.

Imej asal dari keyword-suggestions.com

Dr Mahathir nak ubah hubungan ni supaya Malaysia tak hanya bergantung dengan bantuan kewangan Arab Saudi je. Jadinya, pada 1985, kerajaan bagi akses pelabuhan Malaysia kepada National Shipping Company of Saidi Arabia (NSCSA). Jawatankuasa bersama jugak ditubuhkan antara Majlis Perdagangan dan Perniagaan Malaysia dengan Majlis Perdagangan, Industri dan Agrikultur Timur Tengah.

4. Pembedahan pasangan kembar siam yang ditaja sepenuhnya oleh Raja Abdullah al-Saud

Dilahirkan pada 1998, pasangan kembar istimewa ini nampaknya tak dapat melalui kehidupan normal seperti pasangan kembar yang lain. Ahmad bin Rosli dan Muhammad bin Rosli adalah pasangan kembar siam yang bercantum dari bahagian dada hingga ke punggung. Keadaan inilah yang menguji ketabahan ibu bapa pasangan kembar Siam tersebut.

Pasangan kembar siam Ahmad & Muhammad. Imej dari ohmedia.

Pada asalnya pasangan kembar ni dapat tawaran daripada Prof. Lewis Spitz dari Hospital Ormond Street, London, untuk melakukan pembedahan memisahkan mereka secara percuma, kecuali kos rawatan hospital yang ditanggung oleh keluarga.

Tapi bila kisah pasangan kembar siam ni dapat perhatian dunia, Putera Abdullah al-Saud (putera Mahkota Arab Saudi masa tu) tawarkan diri untuk sponsor sepenuhnya kos pembedahan pasangan kembar siam ni, dengan syarat dilakukan di hospital di Riyadh. Ibu bapa pasangan kembar ni akhirnya bersetuju.

“Syukur pada Allah, Putera Mahkota Arab Saudi begitu pemurah dan sanggup membiayai semua perbelanjaan kami di sini dan kami menerima layanan istimewa.” – Aishah Kandar, ibu pasangan kembar. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Pada 17 September 2002 pasangan kembar ini akhirnya berjaya dipisahkan masa mereka berumur 4 tahun. Pembedahan yang ambik masa selama 22 jam 45 minit itu diketuai oleh Dr Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi.

Ahmad & Muhammad lepas berjaya dipisahkan. Imej dari mStar.

Pembedahan ni jugak disiarkan secara langsung kat skrin besar dan laman web hospital tu. Dr Abdullah Abdulaziz bukan doktor biasa-biasa tau, dia dah terlibat dalam 5 pembedahan pasangan kembar siam. Dia jugak pernah dilantik jadi Menteri Kesihatan Arab Saudi (2009-2014).

Tapi masih ada dugaan yang diterima pasangan kembar ini, pada 2011 ibu mereka,  Aishah Kandar meninggal dunia akibat kanser payu dara pada usia 35 tahun. Sejak itu mereka dijaga sepenuhnya oleh bapa mereka Rosli Abdul Rahim.

Sekarang Ahmad dan Muhammad dah pun berumur 19 tahun dan masing-masing berjaya lanjutkan pelajaran ke menara gading. Ahmad dan Muhammad masing-masing tengah belajar di peringkat diploma dalam bidang reka bentuk grafik dan teknologi maklumat di MSU.

Ahmad sekarang dah sambung belajar dalam bidang grafik design kat MSU. Imej dari Berita Harian.

Sehingga sekarang jugak mereka berdua tak pernah melupakan jasa Almarhum Raja Abdullah al-Saud yang menaja pembedahan mereka. Kejayaan memisahkan pasangan kembar siam ni jugak merupakan kejayaan yang cukup besar dalam sejarah bidang perubatan dunia.

“Tanpa bantuan baginda dan kerajaan Arab Saudi, mustahil bagi kami untuk menjalani kehidupan seperti pelajar-pelajar normal yang lain pada hari ini. Hanya Allah yang dapat membalas budi pihak-pihak yang memberikan peluang dan harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan hingga berjaya seperti insan lain.” – Ahmad dan Muhammad, dipetik dari Utusan Malaysia.

Ahmad & Muhammad masa jumpa Raja Abdullah di istana Arab Saudi pada 2007. Imej dari The Star.

5. Ketua editor akhbar dipecat sebab kritik keluarga diraja Arab Saudi

Mungkin ramai yang tak kenal dengan nama ini. Tapi orang yang kita akan kenal ni sememangnya bukan calang-calang orang. Dia adalah wartawan, ahli politik, diplomat, malah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dia adalah Tan Sri Abdullah Ahmad.

Disebabkan nama dia yang agak sama dengan nama Perdana Menteri ke 5 kita, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi, jadinya orang selalu panggilnya dengan gelaran: Dollah Kok Lanas atau DKL. Kok Lanas tu sebenarnya nama kawasan parlimen yang dia wakili. Untuk maklumat, DKL jugak pernah jadi setiausaha politik kepada Tun Razak.

Dollah Kok Lanas masa jadi Setiausaha Politik Tun Razak. Imej dari Malaysian Insider.

Tapi masa zaman Tun Hussein, DKL dah ditahan selama 5 tahun dalam ISA atas tuduhan terlibat dalam gerakan komunis. Tapi bila Dr Mahathir naik jadi PM, DKL dibebaskan dari ISA. Sepanjang hayatnya, DKL nafikan yang dia terlibat dalam komunis, sebaliknya kata ada konspirasi disebalik penangkapannya.

DKL dilantik jadi Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) ketika di zaman Dr Mahathir. Ini bermakna dia jadi editor untuk akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Metro. Tapi pada 12 November 2003, DKL dah tulis satu artikel kontroversi bertajuk ‘Freeing the Prophet Land’ yang mengkritik cara keluarga al-Saud memerintah negara itu.

Dalam artikel tu, DKL dah kritik sikap pro Amerika Arab Saudi dan menyifatkan keluarga al-Saud memerintah negara itu secara authoritarian, malah hidup dalam kemewahan yang melampau. Mungkin kerana tulisannya yang keras sampai mintak kerajaan di sana digulingkan, membuatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi terganggu. Arab Saudi jugak dah buat bantahan kerana tulisannya itu.

Ramai jugak yang kata DKL ni ‘Orang Mahathir’. Imej dari dinmerican.wordpress

Akhirnya, kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdullah ketika tu buat keputusan tamatkan perkhidmatan DKL sebagai Ketua Pengarang NST (a.k.a dipecat). Bagi Pak Lah tindakan DKL tu dah melampau dan menyusahkan lagi Malaysia untuk jalankan tugas sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam OIC ketika tu.

“…kolum saya di News Straits Times bertajuk ‘Freeing the Prophet Land’ yang mengakibatkan saya disingkirkan oleh Badawi (Tun Abdullah) dan konco-konco Arabnya di Wisma Putra dari jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NST, Berita Harian dan Metro dan sebulan selepas itu, jawatan Pengarah Eksekutif dengan cara tidak beradap dan beradat.” – Tan Sri Abdullah Ahmad, dipetik dari Berani Tanpa Segan.

Walaupun begitu, DKL tetap dikenang sebagai seorang yang sangat tegas ketika menjalankan tugasnya. Pada 12 Jun 2016, Tan Sri Abdullah Ahmad meninggal dunia pada usia 83 tahun dan meninggalkan legasi yang cukup berharga untuk dikaji oleh kita semua.

DKL masa sambut Hari Raya kat ISA. Imej dari Syed Husin Ali.

Malaysia dipandang istimewa oleh Arab Saudi

Seperti mana yang dilakukan Raja Salman sekarang yang jadikan Malaysia sebagai negara pertama dilawati di Asia, Almarhum Raja Abdullah sebelum ini jugak jadikan Malaysia sebagai negara pertama yang baginda lawati sebaik saja baginda naik takhta. Selain tu, Arab Saudi jugak pandang tinggi Malaysia dari segi kemajuan teknologi dan sains.

Bila Proton mula masuk ke Arab Saudi, masyarakat kat sana panggil nama kereta ni dengan gelaran ‘kereta Islam’. Ni kerana Proton lahir dari negara Islam iaitu Malaysia. Kerajaan Arab Saudi jugak hantar ramai pelajar-pelajar diorang ke Malaysia untuk lanjutkan pelajaran sebab percaya dengan sistem pengajian tinggi negara kita ni.

“Di Arab Saudi, Petronas dilihat sebagai satu jenama hebat. Oleh itu tidak hairanlah jurutera Petronas menjadi pilihan utama syarikat tersebut. Begitu juga dengan pe­nyertaan rakyat Malaysia sebagai pakar kewangan di Bank Pemba­ngunan Islam (IDB) berpangkalan di Jeddah selain kecenderung­an hospital-hospital negara itu mengambil jururawat profesional dari negara kita.” – Prof Datuk Dr. Ismail Ibrahim, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Dr Mahathir menyambut kedatangan Raja Abdullah (putera mahkota masa tu), sempena Sidang Kemuncak OIC, 2003. Imej dari millat.com

Jadinya lawatan Raja Salman ke negara kita kali ni bukanlah lawatan yang tak bermakna tapi menggambarkan hubungan erat antara dua negara yang dah terjalin buat sekian lama. Malah merancakkan lagi peluang ekonomi dan meningkatkan kerjasama yang lebih padu antara kedua-kedua negara.

>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lu24in



✍ Sumber : ☕ SOSCILI


Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.