Volkswagen Tiguan Diprebiu Buat Pertama Kali Di Malaysia – 1.4 Liter TSI, DSG 6-kelajuan, Dari RM149k
Setelah video dan imejnya dirakam semasa diuji, hari ini Volkswagen mendedahkan secara rasmi buat pertama kali Volkswagen Tiguan generasi baharu di bilik pameran Sri Hartamas untuk diprebiu oleh media permotoran di Malaysia. Serentak dengan itu, SUV ini turut dipamerkan kepada umum di pusat membeli belah 1 Utama. Tiada tarikh pelancaran rasmi diumumkan, tetapi ia dijangka tidak lama lagi.
Tiguan serba baharu muncul pada peringkat global buat pertama kali di Frankfurt semasa IAA 2015 dan dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, asas yang sama digunakan pada Golf Mk7. Dimensi model baharu ini lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang.
Penampilannya kini lebih ‘tajam’ dan dibina 33 mm lebih rendah berbanding model sebelumnya. Ruang but juga direka 145 liter lebih besar, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Walaupun saiz SUV ini kini bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg dengan penggunaan pelbagai teknologi baharu.
Untuk pasaran Malaysia, Tiguan ditawarkan dengan dua varian berbeza iaitu Comfortline dan Highline. Kedua-dua varian ini dijana oleh enjin TSI 1.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Kuasa dialirkan kepada transmisi klac berkembar jenis basah enam-kelajuan automatik DSG, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan bahan api 6.7 L/100 km, membolehkan Tiguan mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Kedua-dua varian menerima lampu dan pengelap cermin automatik, lampu belakang LED, pedal penukar gear serta unit infotaimen dengan skrin sesentuh lapan-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Apa yang menarik, tempat duduk penumpang hadapan boleh dibaringka sehingga rata kehadapan, membolehkan kabin diisi dengan muatan yang benar panjang.
Varian Comfortline menerima rim ‘Montana’ 17-inci, penderia parkir hadapan dan belakang, upholsteri fabrik ‘Rhombus’, rel bumbung berwarna hitam dan paparan pelbagai informasi berwarna.
Untuk varian Highline pula, ia diberikan banyak kelengkapan sama seperti Passat baharu. Antaranya lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED, sistem penghawa dingin tiga-zon (kawalan berasingan pada kabin belakang), paparan instrumen digital 12.3-inci Active Info Display, Bantuan Parkir, upholsteri balutan kulit, rel bumbung berwarna perak, serta sistem infotaimen dan navigasi Discover dengan skrin sesentuh 8-inci.
Ia turut dipadankan dengan rim ‘Kingston’ 18-inci, serta bukaan pintu tailgate belakang dengan bantuan elektrik, di mana sudut bukaannya juga boleh dilaras. Untuk keselamatan, Tiguan dilengkapi enam-beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.
Tiguan dipasang secara CKD di kilang Pekan, Pahang dan bakal dijual pada harga anggaran RM149,000 untuk varian Comfortline, manakala varian tertinggi Highline bakal dijual pada harga 169,000. Setiap pembelian turut disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. SUV ini juga ditawarkan dalam lima warna berbeza iaitu Deep Black, Pure White, Atlantic Blue, Indium Grey dan Tungsten Silver. Khas untuk pembeli terawal, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) turut menawarkan potongan harga sebanyak RM7,000.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lRuSF3✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment