Aktifkan semula minat
Selagi ada keinginan dan usaha, tiada yang terlewat untuk mengejar cita-cita.
Itulah pegangan bekas peserta Malaysian Idol (MI) musim pertama, Zamil yang hadir dengan single keduanya berjudul Keranamu.
Selepas tamat MI pada 2004, nama Zamil tenggelam timbul dalam arena seni suara kerana setahun selepas itu dia dilamar RTM sebagai pengacara program bual bicara bahasa Inggeris, Hello On Two di TV2.
Selama 10 tahun mengendalikan program itu, penyiarannya ditamatkan pada 2014. Sejak itu Zamil aktifkan semula minat dan cita-citanya dalam bidang nyanyian.
Menurut Zamil, dalam tempoh 10 tahun bersama Hello On Two dia memang berhasrat mengeluarkan album studio tetapi tidak mampu ‘terkejar’ dengan jadual hariannya ketika itu yang memerlukannya menjalani penggambaran di dalam dan luar studio.
“Saya juga membuat liputan berita dan ‘voice over’ untuk program lain di RTM serta menjadi pengacara majlis pelbagai acara dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.
Selepas Hello On Two ditamatkan, barulah saya fokus semula kepada nyanyian menerusi pengurusan syarikat sendiri, Zamil Idris Entertainment.
“Ketika bersama MI dulu semua peserta ada merakamkan lagu ‘cover version’ yang dimuatkan dalam satu album. Jika nak dikatakan itulah single pertama saya, susah juga kerana saya menyanyikan lagu Sohaimi Mior Hassan berjudul Epilog Cinta Dari Bromley. Rakaman lagu nyanyian semula itu mengikut format asal American Idol.
“Jadi, single pertama saya yang sebenar ialah Pesanan Terakhir ciptaan Hazami yang dilancarkan pada 2015. Saya tidak diuruskan sesiapa dan tidak menghasilkan video muzik. Jadi, saya tidak dapat menilai sejauh mana sambutan pendengar terhadap lagu itu,” katanya.
Kini Zamil menguruskan sendiri kerjaya seninya dan dia tahu apa yang perlu dilakukan.
Katanya, Keranamu dicipta Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Abie Abdullah.
“Keranamu hadir bersama video muzik yang sudah dimuat naik di YouTube. Single ketiga pula bakal menyusul dan saya akan berduet dengan Hazami yang juga akan mencipta lagu itu nanti,” katanya.
Sementara itu, sejak tahun lalu juga Zamil mula membuat persembahan secara langsung diiringi band.
Bulan depan, Zamil bakal mengadakan persembahan di Theater Lounge Cafe, Plaza Damas, Kuala Lumpur.
Katanya, dalam persembahan itu dia akan diiringi pemain piano, biola dan dram.
“Persembahan kali ini lebih eksklusif. Selain menyanyikan lagu sendiri, saya akan menyampaikan lagu penyanyi yang amat saya minati iaitu Andrea Bocelli dan Josh Groban. Sejak bergelar penuntut, lagu mereka mengisi minda dan jiwa saya,” katanya.
Zamil yang masih bujang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti RMIT, Melbourne, Australia, tetapi hanya setahun bekerja sebagai akauntan.
“Saya belajar perakaunan kerana memenuhi hasrat arwah ayah, tetapi tidak dapat membohongi diri sendiri. Syarat ayah, macam mana pun saya mesti habiskan belajar, barulah boleh mengejar impian sendiri.
“Degilnya saya nak jadi penyanyi juga. Ketika saya mengikuti Diploma Perakaunan di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam, saya belajar menyanyi di The Singing Shop. Ketika di Melbourne pun saya pergi kelas nyanyian,” katanya yang juga cucu saudara kepada pelakon veteran Allahyarham Haji Mahadi.
The post Aktifkan semula minat appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2p2lpt9✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment